ETNIK LAKIPUT, SARAWAK - ETNIK YANG SEDANG DIANCAM KEPUPUSAN
Sarawak Bumi Kenyalang yang terletak di Kepulauan Borneo merupakan salah satu negeri di Malaysia yang mempunyai lebih daripada 40 suku kaum etnik pribuminya. Antara suku kaum etnik tersebut adalah etnik Lakiput. Etnik Lakiput juga dikenali sebagai Kiput atau lebih mesra dirujuk sebagai “Lepo Pu’un” yang bermaksud “suku awal” atau “bangsa asal” di dalam bahasa Melayu. Masyarakat etnik Lakiput ini tergolong di dalam masyarakat Orang Ulu dan merupakan antara etnik minoriti di Sarawak.
Mengikut sumber populasi tahun 2000, masyarakat etnik Lakiput dikatakan berjumlah sekitar 2000 orang dan majoriti masyarakat ini boleh didapati di sepanjang persisiran Sungai Baram, Kuala Tutoh dan Lubok Nibong di Miri, Sarawak. Menurut sumber juga menyatakan bahawa masyarakat etnik Lakiput juga berkongsi hampir kosa kata bahasa pertuturan yang sama seperti bahasa Jati Miriek untuk etnik Kedayan, Narum dan Bakong. Masyarakat etnik Lakiput juga dikatakan mempunyai kaitan yang rapat dari segi sosio dan budaya dengan masyarakat Brunei yang tinggal di Belait dan Kiudang di Negara Brunei Darussalam sekarang.
Mengikut sejarah asal-usul masyarakat etnik Lakiput ini iaitu kira-kira beratus-ratus tahun, etnik Lakiput berasal dari bahagian tengah Kepulauan Borneo. Masyarakat Lakiput dikatakan antara peneroka terawal yang berhijrah dan menetap di sepanjang persisiran Sungai Baram. Mengikut sejarah lisan dari masyarakat orang tua-tua etnik Lakiput, masyarakat etnik Lakiput yang terawal berhijrah ke Sarawak merupakan mempunyai kaitan dengan Kesultanan Brunei pada suatu waktu dahulu.
Seperti masyarakat Orang Ulu yang lain, masyarakat etnik Lakiput juga tinggal di rumah-rumah panjang yang berada di sepanjang persisiran Sungai Baram iaitu sungai kedua terbesar di Sarawak selepas Sungai Rajang. Pada asalnya masyarakat etnik Lakiput mengamalkan agama pagan atau animisme tetapi setelah kedatangan agama sekitar tahun 1920an ramai mereka telah pun memeluk agama Kristian mahupun agama Islam. Bagi masyarakat etnik Lakiput yang beragama Kristian, mereka masih lagi tinggal di rumah panjang mereka dan bagi yang sudah memeluk Islam lebih gemar untuk memilih tinggal di perkampungan tradisional Melayu. Majoriti etnik Lakiput beragama Islam ramai menetap di Kampung Benawa. Pekerjaan utama bagi masyarakat etnik Lakiput tidak jauh bezanya dengan masyarakat etnik yang lain di Sarawak iaitu mereka menanam padi, menangkap ikan di sungai dan kemudiannya menjual hasil tangkapan mereka ke Bandar Marudi. Ramai juga generasi muda masyarakat etnik Lakiput yang telah berpendidikan tinggi dan mampu berkerja sebagai penjawat awam kerajaan serta di syarikat-syarikat carigali minyak di Miri dan Bintulu malah ada yang sudah mencari rezeki sehingga ke Negara Brunei Darussalam.
Semasa di zaman pemerintahan Rajah Brooke yang pertama iaitu Rajah James Brooke, pemimpin-pemimpin dari etnik Lakiput dikatakan merupakan antara mereka yang menjadi sumber rujukan untuk hal-hal yang berkaitan dengan Orang Ulu Sarawak. Seringkali pemimpin etnik Lakiput ini dijadikan sumber pentadbir kerajaan terutama sekali di Daerah Marudi kerana ilmu pengetahuan mereka yang luas di dalam hal-hal di Baram memandangkan mereka merupakan “suku asal” yang telah lama bermastautin di kawasan Baram. Antara pemimpin-pemimpin dari masyarakat etnik Lakiput yang telah gah namanya adalah seperti Jok Pengiran, Tinggang Jok, Manak Dapat, Penghulu Lejau dan Orang Kaya Temenggung Lawai Melayong.
Inilah paparan daripada Borneo Oracle tentang masyarakat etnik Lakiput yang dikatakan antara salah satu etnik peribumi Sarawak yang sedang dilanda masalah kehilangan jumlah populasi yang disebabkan oleh perpindahan generasi baru mencari rezeki di luar daripada Sarawak dan terus menetap ataupun menukar warganegara mereka contohnya ramai yang sudah menjadi warganegara Negara Brunei Darussalam sekarang. Borneo Oracle juga mengalu-alukan sebarang nilai tambah informasi untuk kita membincangkan permasalahan ini. Diharap paparan ini juga dapat membuka mata kepada generasi Sarawak untuk terus peka kepada apa yang terjadi di dalam masyarakat kita di Sarawak sekarang. Sesungguhnya biarpun kita berlainan agama dan bangsa, kita adalah satu bangsa iaitu Bangsa Sarawak.
